Jumaat, 2 November 2012

soalan k2 set 1



Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi kejadian tanah runtuh dan kesan-kesan tanah runtuh. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Suatu ketika dahulu, negara kita dianggap bebas daripada bencana alam. Kita bebas daripada bahaya letusan gunung berapi, gempa bumi, banjir dan ribut taufan. Malah, tanah runtuh yang mengorbankan nyawa jarang-jarang sekali kedengaran, tidak seperti di negara-negara Asia Pasifik, Asia Selatan atau negara yang sering dilanda bencana alam. Namun, akhir-akhir ini kejadian tanah runtuh dalam negara seolah-olah merupakan satu bencana tahunan yang pasti akan berlaku. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil pendirian tegas untuk tidak lagi meluluskan sebarang permohonan pembangunan di kawasan-kawasan lereng bukit yang berisiko tinggi.
 
Dalam konteks Malaysia, kejadian tanah runtuh berlaku  sekiranya pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun curam terus dijalankan. Pada masa yang sama, jumlah hujan yang tinggi iaitu melebihi 2000 mm juga menjadi faktor utama kepada kekerapan berlaku tanah runtuh. Selain itu, faktor panjang cerun, kecuraman cerun, sistem penutupan dan juga sistem pemuliharaan tanah mampu menyumbang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh. Sikap pemaju perumahan yang melaksanakan projek pembangunan tanpa mengambil kira penjagaan alam sekitar turut menyumbang kepada masalah tanah runtuh di negara ini. Pemaju sepatutnya mengguna pakai konsep pembangunan lestari yang tidak memusnahkan alam sekitar iaitu mengintergrasikan pembangunan dengan persekitaran. Tahap keselamatan di kawasan tanah tinggi pula akan lebih terjamin apabila lima agensi di bawah pemerhatian Kementerian Sains dan Teknologi menggabungkan data alam sekitar masing-masing dalam satu pangkalan mulai awal tahun ini.

Selain itu, langkah jangka pendek dan panjang perlu disusun oleh pihak berwajib bagi memastikan kejadian yang mengerikan sehingga mengorbankan nyawa itu tidak berulang lagi. Dasar-dasar pencegahan yang lebih serius juga perlu digubal bagi menghindari  berlakunya  fenomena yang sama. Umpamanya, Pelan Induk Cerun Kebangsaan yang diuar-uarkan, diharap menjadi asas kepada setiap pembangunan baru pada masa akan datang. Namun yang lebih penting ialah semua garis panduan, peraturan dan undang-undang yang dibuat dapat dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak. Malangnya, perkara yang dikesalkan semua peraturan yang diadakan tidak dipatuhi sepenuhnya akibat tindakan penguatkuasaan yang kurang cekap, telus dan mencukupi. Di samping itu, semua kerajaan negeri perlu menimbangkan untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi. Pihak berkuasa tempatan pula perlulah menjalankan pemantauan berterusan terhadap segala aktiviti di kawasan tanah tinggi terutama yang telah dikenal pasti berisiko bagi mengelakkan kejadian seperti ini. 

Secara tuntas, diharap segala saranan dan cadangan sepatutnya diguna pakai bagi menghindari atau meminimumkan risiko kejadian yang sama berulang. Kita boleh mengurangkan berlakunya bencana atau tragedi tanah runtuh dengan kerjasama semua pihak yang terlibat dengan aktiviti pembangunan di  kawasan lereng bukit.
                      
(Dipetik dan diubah suai daripada
Fenomena Tanah Runtuh oleh Haji Samat Buang,
Fokus SPM, Februari 2009)

Soalan 2  :  Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2(a)  :  Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1,  jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud rangkai kata meminimumkan risiko.
[2 markah]

(ii)        Pengarang mengemukakan beberapa factor yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di negara kita.

                        Nyatakan dua faktor tersebut.
[3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, apakah bantuan-bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa tanah runtuh di negara kita?

            Jelaskan tiga bantuan tersebut.
[4 markah]

Soalan 2(b) – Petikan Drama
Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunkan ayat anda sendiri.

SALMAH: Mengapa memilih Malaysia?

MU II: Malaysia kami pilih kerana mempunyai beberapa potensi yang boleh dimajukan untuk dijadikan sebagai sebuah negara model dunia dalam menegakkan keamanan dan peningkatan moral sejagat.

CHANDRAN : Terima kasih atas penghormatan itu. Cuma satu saja yang saya ragu. Perkataan potensi yang saudara sebutkan itu membawa implikasi bahawa negara kami belum lagi mencapai taraf prestasi yang boleh dibanggakan sebagai sebuah negara membangun. Sedangkan kami rasa setiap keadaan dalam negara ini adalah terkawal dan membanggakan.

MU I: Itu perasaan saja. Hakikatnya belum cukup memuaskan sepenuhnya untuk dijadikan sebagai sebuah negara model.

CHONG:  Kami rasa, kami sudah mempunyai kualiti-kualiti yang mencukupi sebagai sebuah negara model yang saudara sebutkan itu. Kami punyai satu bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan untuk tujuan integrasi nasional.

SALMAH: Kami punyai satu agama rasmi, sementara agama-agama lain dibenar untuk dipraktikkan.

CHANDRAN            : Kami juga mempunyai satu kebudayaan nasional yang mewakili seluruh
cara hidup bangsa Malaysia.

(Dipetik daripada drama ‘Forum Remaja 2020’
oleh Syarif Shaary dalam Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

( i )       Mengapakah Chong begitu yakin bahawa Malaysia mampu untuk menjadi sebuah negara model?                                                                                                                                                                                                                                                                      [ 2 markah ]

( ii )      Pada pandangan anda, selain untuk mewujudkan integrasi nasional, nyatakan dua kepentingan bahasa kebangsaan dalam masyarakat berbilang kaum ?                                                                                                                                                              [ 3 markah ]

( iii )     Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan drama di atas dan satu persoalan lain daripada drama yang tidak terdapat dalam petikan.
                                                                                                                                                  [ 4 markah ]


            Soalan 2 (c) – Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

               Setelah itu maka Inderaputera melihat laku yang demikian itu. Maka tuan puteri pun membukakan pakaiannya lalu bergosokkan bedak dan langgir. Maka segala bidadari pun bergosokkan juga seraya turun berenang mandi bersembur-semburan. Hatta maka segala kelakuan puteri itu pun habislah dilihat oleh Inderaputera dan bidadari pun selam-menyelam ketujuhnya itu sambil berpantun dan berseloka. Maka Inderaputera pun hairanlah melihat laku tuan puteri dan mendengar suara tuan puteri itu pun terlalu amat merdu.
Maka Inderaputra pun berbangkit perlahan-lahan mengambil bajunya tuan puteri yang bernama antakesuma dan segala baju bidadari itu. Setelah sudah diambilnya baju itu maka segeralah ditaruh oleh Inderaputera ke dalam lubang yang diperbuat itu. Setelah sudah lalu ia kambus dengan tanah seperti sediakala rupanya. Maka ia pun berlindung dirinya di balik pohon kayu tiada kelihatan oleh segala bidadari.
Arkian maka Inderaputera pun segera turun ke dalam tasik itu dan dicitanya kepada tempat mandi tuan puteri. Maka ia pun turunlah mandi. Maka dicubitnya pinggang tuan puteri itu. Maka lalu terkejutlah tuan puteri seraya ia berbangkit daripada mandi itu lalu datang ke tepi tasik itu. Maka rambutnya Tuan Puteri Seri Ratna Nehran pun terhamparlah ke tanah seperti mayang di atas talam rupanya.
Maka ujar tuan puteri itu kepada bidadari seraya memegang kainnya itu katanya, “Kita dipagut oleh ular gerangannya tadi rasanya.”
(Dipetik daripada prosa tradisioanal Dua Geliga Hikmat
dalam antalogi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)                 Berikan maksud rangkai kata terhamparlah ke tanah.
                                                                                                                                                  [ 2 markah ]

(ii)               Berdasarkan petikan, apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh Inderaputera untuk mendapatkan baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala?    
                                                                                                                                                  [ 3 markah ]

(iii)             Sekiranya anda Tuan Puteri Seri Ratna Gemala, apakah reaksi anda  apabila mendapati bahawa  baju antakesuma telah dicuri?                                                                                                                                                                   
                                                                                                                          [ 3 markah ]

Soalan 2 (d) – Sajak
Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(1)
Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci
Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

(2)
Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.

Zurinah Hasan
(Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i)                 Berikan maksud rangkai kata menghidupkan Langkawi.                                        
                                                                                                                                      [ 2 markah ]

(ii)               Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk memajukan bidang sastera?

Kemukakan empat cara.
                                                                                                                                      [ 4 markah ]

(iii)             Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas.
                                                                                                                          [ 3 markah ]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]

Jawab semua soalan

(a)               Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambah imbuhan, menukar imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)                       bebunga
(ii)                     kekuda
(iii)                   lelangit
(iv)                   pepohon
(v)                     rerama
(vi)                   sesama
                                                                                                                                    [ 6 markah ]

(b)               Tukar ayat-ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i)                 Pemuda itu menasihati rakannya supaya belajar bersungguh-sungguh.
(ii)               Ravindon belum pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.
(iii)             Suhaila menggubah bunga itu untuk diberikan kepada rakannya.
(iv)             Mereka mengambil keputusan untuk melancong ke Turki pada musim panas ini.
(v)               Saya belum sempat mengunjungi tempat itu.
(vi)             Kereta itu telah melanggar basikal kawan saya semalam.
                                                                                                                                      [ 6 markah ]
(c)                Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih dari satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)                 Kerisis yang berlaku di kawasan Timur Tengah mesti ditangankan secara berhati-hati sekiranya kita tidak mahu tercetusnya peperangan yang melibatkan penggunaan senjata nuklear.

(ii)               Pengeluar barangan halal menghadap kesukaran untuk mendapatkan keyakinan pengguna apabila ujud pelbagai pihak yang menyelewengkan penggunaan tanda halal.

(iii)             Rancangan Malaysia Ke sepuluh memberikan tekanan terhadap usaha untuk membasmi kemiskinan di bandar dan di luar bandar.
                                                                                                                                      [ 6 markah ]

(d)               Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)                 Pengunjung tidak dibenarkan masuk ke tapak beli-belah itu di atas sebab-sebab keselamatan.

(ii)               Dalam rakyat moden hari ini, sukan dapat dijadikan jambatan dari mewujudkan perpaduan.

(iii)             Pertunjukan buku yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai.
                                                                                                                                      [ 6 markah ]


(e)                Lengkapkan ayat-ayat berikut dengan menggunakan peribahasa yang sesuai.
(i)     Ramai orang berhijrah ke Kuala Lumpur kerana hidup di bandar itu mudah mendapat rezeki, bak kata orang _____________________________.

(ii)   Sikapnya yang berjimat-cermat, sentiasa tekun dan mengamalkan prinsip ________________________ itu menyebabkan dia berjaya membina rumah yang berharga setengah juta ringgit itu .

(iii)  Sebagai peniaga, Encik Abu begitu gigih berusaha dan tidak berserah kepada nasib semata-mata kerana dia sedar ________________________________.

                                                                                                                                     [ 6 markah ]

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel berikut.
              
                        ( i )      Renyah karya Gunawan Mahmood
                        ( ii )     Papa….( akhirnya kau tewas jua! ) karya Deana Yusof
                        ( iii )    Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
                        ( iv )    Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
                        ( v )     Interlok karya Abdullah Hussain
                        ( vi )    Kembara Amira karya Amer hamzah L. Kadir
                        ( vii )   Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah
                        ( viii )  Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan


( a )      Tuliskan sinopsis sebuah novel yang telah anda kaji.
                                                                                                                                               [ 7 markah ]

( b )      Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji,  jelaskan satu nilai murni yang terdapat dalam setiap novel.
                                                                                                                                               [ 8 markah ]



KERTAS SOALAN TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan