NOTA KOMSAS


PERSAHABATAN
(Mohd Amran Daud)



 MAKSUD SAJAK

Rangkap 1

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Melayu yang nampak cantik apabila berbaju kurung. Mempunyai lesung pipit dan kening yang lentik. Dia sedang bermain-main keseorangan dalam keadaan keriangan. Di wajahnya menampakkan kegembiraan melalui senyum dan ketawanya.


Rangkap 2

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang mengenakan pakaian cheongsam dan mempunyai dua tocang pada rambutnya. Wajahnya menampakkan keceriaan.  Kemudian dia datang bertegur sapa dengan kanak-kanak berbangsa Melayu. Dia menghulurkan senyuman dan ketawa manja yang menyerlahkan keriangannya. Kemudian mereka bermain dan berkejaran bersama-sama tanpa sesiapa yang menghalang.


Rangkap 3

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa India yang mengenakan pakaian sari, bergelang dan bertindik hidung.  Apabila dia melihat keriangan kanak-kanak berbangsa Melayu dan Cina itu bermain bersama-sama maka timbul rasa di hatinya untuk bermain bersama-sama dan berkongsi kemesraan.


Rangkap 4

Kanak-kanak yang berlainan agama dan bangsa itu saling bersalaman dan berpeluk mesra. Mereka tidak menghiraukan perbezaan adat dan budaya yang wujud antara mereka. Mereka telah membina hubungan baik antara satu sama lain tanpa rasa curiga. Wujudnya perpaduan dalam kalangan mereka tanpa rasa prasangka.  Mereka telah bersatu hati membentuk jati diri bagi merealisasikan wawasan negara agar lebih bererti.


TEMA

Sajak ini mengemukakan tema tentang perpaduan antara kaum – masyarakat berbilang kaum perlulah bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan perpaduan.



PERSOALAN

1.      Persoalan hubungan persahabatan yang wujud tanpa mengira kaum dan agama.

2.      Persoalan keakraban dan perpaduan dapat dicapai tanpa wujudnya rasa sangsi atau curiga antara satu sama lain.

3.      Persoalan kemesraan dalam perhubungan contohnya kanak-kanak pelbagai kaum bermain bersama-sama dengan riang dang gembira.

4.      Persoalan sikap ramah mesra tanpa batasan kaum iaitu kanak-kanak berbangsa Melayu terhadap kanak-kanak berbangsa lain untuk bermain bersama-sama.



NADA

Sajak ini bernada patriotik



GAYA BAHASA

1.      Kata ganda
Kanak-kanak / Bermain-main / berkejar-kejaran.

2.      Personifikasi
pipi tampak ceria bergincu (Rangkap 2, baris 3)

3.      Inversi  
bertindik hidung menguntum seri (Rangkap 3, baris 3)

4.      Simile
Dirinya bagai digamit bermain bersama. (Rangkap 3, baris 6)

5.      Anafora
pada wajahnya meriak gembira
pada bibirnya menguntum ceria. (Rangkap 1, baris 5&6)

6.      Asonansi
melihat saja telatah manja (Rangkap 3, baris 4)
pengulangan konsonan ’a’

7.      Aliterasi
menterjemah makna kejiranan (Rangkap 3, baris 8)
pengulangan konsonan ’n’.



BENTUK SAJAK


1.      Sajak ini terdiri daripada empat rangkap

2.      Jumlah baris adalah bebas.
Contohnya: Rangkap 1-  ada tujuh baris, Rangkap 2 – ada lapan baris, Rangkap 3 –             ada lapan baris dan Rangkap 4 –ada sepuluh baris.

3.      Jumlah perkataan antara tiga hingga enam patah kata sebaris.

4.      Jumlah suku kata antara lima hingga lima belas suku kata sebaris.

5.      Rima akhir bebas


NILAI

1.    Nilai perpaduan
Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain untuk menjayakan wawasan negara.

2.    Nilai keakraban dalam hubungan persahabatan
Kanak-kanak pelbagai kaum menjalin hubungan persahabatan tanpa timbul rasa curiga.


PENGAJARAN 

1.    Kita hendaklah menjalinkan hubungan persahabatan tanpa mengira kaum atau agama.

2.    Kita janganlah menyimpan perasaan curiga atau prasangka antara satu sama lain.

3.    Masyarakat perlulah bersatu-padu antara satu sama lain bagi menjayakan wawasan negara.

 Antologi Gema Sepi Gadis Genius- by siapakahaku